Source: email
Solat Dhuha hindari kepapasan
*Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat
kepada-Ku.*(al-Dhariyat: 56)
Allah s.w.t. Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-
Nya. Dia tidak menciptakan makhluk-Nya dengan sia-sia dan tiada
manfaatnya. Malah Allah yang Maha Bijaksana tidak membiarkan mereka
dalam keadaan terkapai-kapai tanpa pedoman dan panduan, terbiar tanpa
pengisian dan amalan.
Bahkan dengan rahmat dan kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhingga
kepada manusia, Allah s.w.t. dan Rasul-Nya menunjukkan jalan-jalan
ibadat dan ketaatan, begitu juga pintu-pintu kebaikan dan kebajikan
untuk diamalkan sesuai dengan falsafah sebenar penciptaan jin dan
manusia seperti ayat di atas. Salah satu ibadat sunat yang dianjurkan
ialah solat sunat Dhuha.
Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Kolej Universiti
Islam Malaysia (KUIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nidzamuddin Zakaria
menjelaskan, solat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada
waktu dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi
sebatang lembing atau galah (kira-kira jam 20 minit selepas terbit
matahari atau lebih) hinggalah matahari berada tepat di tengah-tengah
langit (sebelum menjelang Zuhur).
"Menurut mazhab jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat
ini hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sedangkan Imam
Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.
"Justeru, sunah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah ini eloklah
dijadikan amalan bertepatan dengan hadis yang bermaksud: Junjunganku
tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. telah berwasiat supaya aku mengerjakan
tiga perkara iaitu:
Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan
daripada bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan juga
supaya aku mengerjakan solat Witir sebelum aku tidur," kata
Nidzamuddin dalam temu bual baru-baru ini.
Kelebihan
Menjelaskan kelebihan mereka yang mengamalkan solat ini, kata
Nidzamuddin, setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran
setimpal daripada Allah s.w.t.. Pun begitu, ia mestilah dilengkapi dua
syarat utama iaitu ikhlas dan menepati syariat.
"Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan
fadilat yang tersendiri. Cuma usah pula hikmah dan fadilat ini yang
diutamakan.
Dibimbangi ia menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran
hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri.
"Namun demikian, terdapat nas-nas hadis nabawi yang menggesa umatnya
melakukan amalan solat sunat Dhuha dengan disebutkan fadilatnya bagi
menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.
"Di antaranya hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi s.a.w. bersabda
maksudnya:
Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi
memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid
sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah
sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah
sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha,"
kata Nidzamuddin.
Selain itu, solat ini juga adalah tanda kesyukuran seorang hamba yang
dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap
pagi yang dilaluinya. Justeru, dhuha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi
itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih
seorang hamba kepada Penciptanya.
Persoalan yang sering timbul berkaitan solat ini adalah dari segi
keutamaannya kerana ia berada dalam waktu bekerja. Akui Nidzamuddin,
kedua-dua perkara tersebut memang ada kedudukan dan kepentingannya
masing-masing. Pokoknya cara seseorang itu mengendalikannya mestilah
seimbang dan saksama antara tanggungjawab duniawi dan tuntutan
ukhrawi.
Hakikatnya, umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini. Pertama,
sebaik-baiknya, ia dilakukan di rumah agar dapat dikerjakan dengan
lebih sempurna. Jadi, jika di tempat bekerja, lakukan dengan
menggunakan masa yang sebaik mungkin.
Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana
tempat (baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya
mengambil masa empat hingga lima minit. Jadi, apalah salah kalau ia
dibudayakan.
Ketiga, pada dasarnya ia adalah sunat hukumnya malah Baginda jua tidak
melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan oleh
Aishah: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. mendirikan
sembahyang sunat Dhuha. Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Dhuha
walaupun Rasulullah meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda
suka melakukannya, ini adalah kerana Baginda bimbang jika selalu
mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka.
(Riwayat Muslim).
Oleh itu lakukan solat ini di rumah atau di tempat kerja selagi mana
ia tidak memberatkan atau menghalang tugas-tugas lain yang lebih utama
dan penting.
Ruang waktu dan waktu afdal
Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang
waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau
disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada
pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-
kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu
Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat
sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga
1 petang.
Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas
berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin
Arqam.
Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Solat Dhuha ini afdalnya ketika
matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya. Imam Nawawi
menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh
siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu'
karangan Imam Nawawi).
Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah
lagi pada saat itu badan memerlukan 'rehat sebentar' setelah penat
bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar
empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah
atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara
atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.
Bilangan rakaat
Yang masyhur di kalangan para ulama adalah paling minimum dua rakaat
sahaja dan bilangan yang maksimum adalah lapan rakaat. Cuma terdapat
juga pendapat sebilangan ulama yang mencadangkan bilangan yang paling
afdal iaitu empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini
bersandarkan hadis Aishah (Riwayat Imam Abu Daud) menjelaskan bahawa
Nabi melakukannya sebanyak empat rakaat. Begitu juga hadis Qudsi yang
disampaikan oleh Nu'aim yang bermaksud:
Wahai anak Adam! Usahlah dikau lemah daripada mengerjakan empat rakaat
Dhuha. Demikian itu pasti melengkapi kebajikan genap satu hari yang
dikau jalani. (Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih)
Solat ini juga diriwayatkan berjumlah enam rakaat (tiga kali salam)
seperti hadis Nabi yang disebutkan oleh Jabir bin Abdullah. (Riwayat
Imam
al-Tabarani)
Dalam pada itu, ada juga riwayat yang dirakamkan oleh Anas bin Malik
menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Barang siapa yang menunaikan
solat sunat Dhuha sebanyak 12 rakaat maka nescaya Allah s.w.t. akan
membina sebuah mahligai di dalam syurga kelak. (Riwayat Imam al-
Tirmizi)
Tegasnya, bilangan yang masyhur adalah antara dua hingga lapan rakaat.
(Kitab al-Majmu' karangan Imam Nawawi). Oleh itu, eloklah ia dijadikan
sandaran bagi amalan kita.
Cara melaksanakannya
Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara
melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat
hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.
Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat
sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang
dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang
disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat
pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)
Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang
subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan
kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut
diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya
disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat
tersebut.
Para sahabat yang komited
Antara mereka yang paling komited dengan amalan solat sunat ini ialah
Abu Darda', Abu Hurairah dan Abu Zar al-Ghifari. Mereka komited
lantaran wasiat dan pesanan Nabi s.a.w. kepada mereka ditambah pula
dengan sifat mereka yang kuat beribadat.
Oleh ZUARIDA MOHYIN, Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment