source: email
Dihimpunkan hikmat dan rahsia surah Al-Fatihah dengan tujuan yang baik bagi faedah umum.
Syarat-syarat dikabulkan amalan
1) Berada dalam keadaan berwudhu’, Bersih pakaian, badan dan tempat
2) Mengadap Kiblat
3) Jangan memutuskan bacaan dengan sesuatu perkataan.
4) Bacaan haruslah betul, segala huruf dan makhrajnya.
5) Tumpukan dengan sepenuh keimanan kepada Allah SWT dan berserah kepadaNya
6) Memperbanyakkan permintaan dengan penuh harapan
7) Penuh yakin dan percaya bahawa Allah SWT akan kabulkan.
Fatihah Seribu Faedah
Sesiapa yang mengekalkan bacaan Al-Fatihah diantara solat Sunat Subuh dengan Fardhu Subuh sebanyak 41 kali, insya-Allah;
1) Meminta pangkat melainkan ia dapat
2) Ia miskin melainkan menjadi kaya
3) Ia berhutang melainkan dibayar Allah akan hutangnya
4) Ia sakit melainkan disembuhkan Allah SWT
5) Ia lemah melainkan dikuatkan Allah SWT
6) Ia berdagang dinegeri orang, melainkan dimuliakan, dikasihi dan tercapai cita cita
Fatihah Mendapat Zuriat
Siapa siapa yang mandul tidak mendapat anak selama ia berkahwin, dan suka pula hendak mendapat zuriat, hendaklah ia mengamalkan surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali selama 40 hari.
Masanya diantara solat Sunat Subuh dengan Fardhu Subuh. Insya-Allah akan dikurniakan zuriat yang soleh lagi baik.
Fatihah Sakit Mata
Siapa siapa yang mengidap sakit mata sama ada lama atau baru dan di atas apa sifat sekalipun, hendaklah ia mengamalkan surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali selama 40 hari dengan niat meminta;
1) Sembuh sakit matanya
2) Pulih pandangannya
Masanya diantara solat Sunat Subuh dengan Fardhu Subuh. Insya-Allah akan akan sembuh penyakit mata itu.
Fatihah Di Atas Kapas
Siapa siapa yang membaca surah Al-Fatihah sebanyak 7 kali, kemudian diludahkan diatas sekeping kapas dan ditampalkan pada tempat yang luka atau kudis atau apa saja penyakit kulit, akan bercantum lukanya dan sembuh kudisnya, insya-Allah, dengan izin Allah SWT.
Wirid Fatihah
Siapa siapa yang membaca surah Al-Fatihah sebanyak sebanyak 100 kali sehari, pada tiap tiap selepas solat sebanyak 20 kali, ia akan:
1) Dimurahkan rezekinya
2) Diperbaiki hal ehwalnya
3) Dibersihkan hatinya
4) Diangkat darjatnya
5) Dipermudahkan pekerjaannya
6) Dilepaskan dia dari dukacita
7) Dijauhkan dari mudharat
8) Diberi padanya kerajinan dan semangat
9) Tidak kecewa
10) Dijauhkan dari hasutan syaitan
11) Diilhamkan padanya kebajikan
Pedinding Sewaktu Tidur
Siapa siapa yang membaca surah Al-Fatihah sekali, tatkala meletakkan kepalanya kerana hendak tidur, kemudian ia membaca Surah Al-ikhlas, Surah Al-Falaq, Surah An-Naas sekali.
Terselamat ia dari segal kejahatan dan mudharat, serta menjadi dinding dari gangguan hantu dan syaitan dan segala makhluk yang akan merasuk sewaktu ia tidur.
Air Fatihah
Ambil air dan bacakan surah fatihah sebanyak 40 kali dalam satu bekas, setelah selesai, berdoalah, “Ya Allah, sembuhkanlah kerana engkaulah yang Maha Penyembuh. Ya Allah lindungkan kerana engkaulah Yang Maha Pelindung. Ya Allah, pulihkan kerana engkaulah Yang Maha Pemulih” Berikan minum air fatihah kepada yang mengidap penyakit dan kemudian air itu disapukan ke muka, kepala, dua belah tangan dan kaki serta perut dan dimana anggota yang nyata. Dengan berkat fatihah sembuhlah penyakit dengan izin Allah SWT.
Fatihah Kerana Memohon Hajat
Siapa siapa yang berhajat, hendaklah ia membaca surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali, selepas solat Maghrib, jangan ia bergerak dari tempat duduknya hingga selesai membaca menurut bilangan tersebut.
Setelah itu mohonlah pada Allah SWT akan hajat (hajat yang baik), Insya-Allah dikabulkan.
Fatihah Penerang Hati
JIka dibacakan fatihah;
1) 70 kali sehari
2) Selama 7 hari
3) Pada suatu bekas berisi air
4) Kemudian dihembuskan kedalam air itu dan diberi minum kepada sesiapa yang kurang baik otaknya, samada ia bebal, bodoh atau gelap hati
Insya-Allah dibukakan Allah SWT pintu hatinya dan diberikan kepadanya faham serta pengetahuan dan menjadi seorang yang tidak pelupa.
Fatihah Dalam Pelayaran
Jika dibaca fatihah sebanyak 41 kali, dibelakang orang yang hendak belayar.
Insya-Allah diselamatkan ia dalam pelayarannya dan kembali ia ke tanah air dalam keadaan sihat walafiat.
Fatihah Jika Terpasung/Terikat
Jika seseorang terikat atau terbelenggu, hendaklah dibacakan fatihah 121 kali – kemudian hembus di atas ikatan atau belenggu itu.
Insya-Allah akan terhurai ikatannya dan dengan izin Allah SWT akan dapat melepaskan diri.
Fatihah Jika Hendak Membereskan Pekerjaan
Sesiapa yang hendak membuat sesuatu pekerjaan dan hendak menyelesaikan pekerjaan itu dengan baik, bacalah faithah ditengah-tengah malam sebanyak 41 kali.
Insya-Allah dimudahkan Allah swt pekerjaannya dengan tidak mendapat suatu gangguan. Dan segala pekerjaanya semuanya akan beres dengan izin Allah SWT.
Fatihah Jika Berasa Dahaga/ Lapar
Jika berada dalam pelayaran, atau perjalanan yang sesat, maka takut ia akan dahaga atau lapar.
Hendaklah ia membaca fatihah sekali di atas tapak tangannya, kemudian ditiupkan di atas tapak tangannya itu dan disapukan kemuka dan perutnya.
Insya-Allah tidak terasa lapar atau dahaga pada hari itu.
Fatihah Jika Rasa Berdebar-Debar
Jika seseorang mengidap penyakit dada atau selalu hati dan dadanya berdebar debar seakan akan ada satu kejadian atau kecemasan.
Hendaklah dituliskan fatihah didalam satu bekas (pinggan atau mangkuk besar) kemudian dihapuskan tulisan itu dengan air yang bersih lalu diberi minum kepadanya, Insya-Allah akan tetap hatinya dan baik di dadanya.
Fatihah Mengubat Telinga
Jika seseorang mengidap penyakit telinga baru atau lama hendaklah dituliskan fatihah dalam satu bekas, kemudian hapuskan tulisan itu dengan minyak mawar dan titikan dalam telinga.
Insya-Allah sembuh.
Minyak Fatihah
Jika dibacakan 70 kali fatihah kedalam minyak (apa saja jenis minyak itu) dan disimpan untuk persediaan bagi sakit sakit angin, angih ah-mar (angin yang mematikan anggota) dan bagi menyegarkan tulang urat. JUga bagi penyakit belakang dan pinggang. Insya-Allah afiat apabila digosokkan.
Fatihah Menjadi Penawar
Jika disengat binatang berbisa, lipan, kala, atau ikan bersengat, hendaklah diambil segelas air, letakkan sebutir garam jantan (garam kasar) dalam air itu dan dibacakan fatihah sekali. Kemudian diberi minum, insya-Allah hilanglah bisanya.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment